Friday, 2 August 2013

Ketika ada konflik dalam masyarakat, maka kita akan selalu mendengar seruan untuk berdialog dalam menyelesaikan konflik tersebut. Sepertinya kata dialog ini sudah menjadi kata keramat untuk kita meredakan sebarang sengketa yang berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini.
Secara idealnya, saya bersetuju bahawa seruan berdialog boleh menjadi usaha untuk memandaikan masyarakat kita. Tapi dalam waktu yang sama, secara praktikalnya, saya juga melihat seruan berdialog ini juga bertujuan untuk memperbodohkan lagi masyarakat kita.
Mengapa saya berkata bahawa seruan berdialog boleh ada dua sisi: memandaikan sekaligus memperbodohkan masyarakat kita?
Di satu sisi, saya akui bahawa dialog adalah sesuatu usaha yang sangat baik, jika sekiranya mereka yang terlibat dalam sesuatu dialog tersebut telah terlebih dahulu bersepakat di atas satu asas; iaitu semua pihak adalah bebas untuk berpendapat, tanpa merasa terancam akibat pendapatnya yang mungkin saja menyimpang dari arus perdana kefahaman masyarakat.
Justeru, menerusi pengiktirafan kewujudan yang setara ini, maka dialog tersebut akan dapat mematangkan masyarakat kita dengan kualiti hujah masing-masing. Jadi, inilah pada saya sisi baiknya dari seruan berdialog tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita enggan memberikan pengiktirafan awal kepada kewujudan golongan yang berlawanan dengan kita, maka saya fikir ajakan berdialog tersebut hanya akan menjadi satu sisi sama sekali berbeza; yang mana sisi ini bertujuan untuk mempermain-mainkan lagi masyarakat kita.
Saya mengatakan demikian kerana, kalau kita benar-benar jujur untuk berdialog, kita mestilah terlebih dahulu mengiktiraf hak kemanusiaan kepada lawan dialog kita. Nilai kemanusiaan inilah yang mesti didahului sebelum disusuli dengan sebuah dialog yang terbuka, sihat dan bebas. Tanpa penerimaan awal kepada prinsip asasi ini, maka ajakan berdialog adalah sebuah kepura-puraan yang besar.
Sebab itu, kita tidak boleh mengharapkan tercetusnya dialog, sekiranya kita tidak pernah mengiktiraf kewujudan pihak lawan terlebih dahulu. Fikirkan saja, apakah mungkin kita boleh mengajak pihak lawan untuk berdialog, tapi pada waktu yang sama kita tidak pernah mengiktiraf hak mereka untuk wujud? Sama sekali tidak mungkin.
Dalam keadaan seperti inilah, bagi saya, seruan berdialog tersebut ibaratnya sudah menjadi pisau yang bermata dua: dari satu sisi, boleh digunakan untuk memotong sayur (ajakan dialog sambil mengiktiraf kewujudan pihak lawan), dan dari satu sisi lain, boleh juga sampai membunuh manusia (ajakan dialog sambil tidak mengiktiraf kewujudan pihak lawan).
Memang, dialog adalah pisau yang bermata dua. Contoh yang paling jelas ialah dengan merujuk kepada kes yang sedang menimpa golongan Syiah di Malaysia pada hari ini.
Hampir setiap hari, golongan Syiah ini dicemuh, dihentam, dan awal-awal lagi ditempatkan dikandang orang yang bersalah. Malah, kita tidak hairan sekiranya ada yang beranggapan bahawa golongan Syiah ini mesti dihapuskan di Malaysia. Langkah pertama adalah mengharamkan mereka. Dan, saya tidak hairan, jika langkah terakhir adalah memenjarakan (kalaupun belum membunuh) mereka.
Persoalannya, apakah wajar untuk kita memulakan dialog dengan golongan Syiah ini sekiranya awal-awal lagi kita sudah berdiri di atas bukit sambil mengacukan busur, sedangkan lawan kita pula terikat sambil dijadikan tempat sasaran? Adakah ini wajar? Jujur sajalah pada nurani kita, jika kita ikhlas untuk mendapatkan sebuah jawapan yang manusiawi.
Kerana itu, pada saya, seruan berdialog dalam keadaan tempang seperti ini adalah sebenarnya mahu memperolok-olokkan golongan komuniti Syiah tersebut, dan juga mahu memperbodohkan lagi masyarakat kita.
Bahkan, ajakan berdialog seperti ini adalah lebih teruk dari ajak-ajak ayam, yang pada hakikatnya merupakan sebuah perangkap untuk membunuh setiap perbezaan yang terdapat dalam masyarakat kita. Lantaran itu, saya berpandangan bahawa dialog dengan golongan Syiah adalah sesuatu yang sama sekali tidak relevan, jika beginilah permulaan keadaannya.
Sebaliknya, bagi saya, dialog dengan golongan Syiah hanya relevan sekiranya kita terlebih dahulu memberikan mereka hak kewujudan di Malaysia ini. Dari situ, barulah sebuah suasana dialog yang tenteram dan berkualiti dapat direalisasikan.
Sebab, adalah mustahil berlakunya sebuah dialog dengan golongan minoriti, tapi pada saat yang sama survival diri mereka terus diancam. Jika ini berlaku, maka itu ibaratnya kita sedang meletakkan pisau di leher mereka, sambil menempik, "marilah berdialog, kalau kamu rasa hujah Syiah kamu itu hebat sangat."
Lihatlah betapa ironinya ajakan berdialog yang berlaku di Malaysia pada hari ini. 
* Afham Azmuni merupakan pembaca The Malaysian Insider.

0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~