Monster in Malaysia - Suzanna Abdul Razak
AUGUST 13, 2013
Baru-baru ini bila saya menonton filem animasi, A Monster in Paris, yang mengingatkan saya bahawa mutakhir ini juga terdapat “monster” di negara kita yang selama ini terkenal aman dan damai. Dengan kehadiran “monster” kini, negara kita diancam bahaya dan mungkin tidak lagi aman.
Secara ringkas, A Monster in Paris mengisahkan seekor kutu bersaiz gergasi akibat terkena campuran kimia sewaktu letupan di sebuah makmal. Bayangan kutu bersaiz gergasi itu dilihat di dalam kamera oleh Emile dan keesokannya berita tentang makhluk asing atau “Monster” tersebut disebarkan di dada akhbar dan menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan orang ramai di Paris. Filem animasi ini dikisahkan berlaku pada tahun 1910 sewaktu Sungai Seine melimpah dan berlaku banjir besar di Paris.
Datuk Bandar mengambil kesempatan dengan cerita “Monster” yang disebarkan oleh pihak akhbar untuk mengekalkan keresahan dan ketakutan rakyat di Paris, bertujuan mewujudkan peluang Datuk Bandar untuk menjadi wira dan memenangi pilihanraya akan datang. Pihak pemerintah terus memerangi “Monster” tersebut. Ketakutan dan keresahan terhadap “Monster” menjadi-jadi sehingga keadaan menjadi huru-hara, dan Datuk Bandar terus mengambil kesempatan meraih populariti dengan menjaja cerita bahawa dia akan memerangi “Monster” bagi menjaga keselamatan rakyat.
Hakikatnya mereka tidak mengetahui bahawa kutu raksasa tersebut tidak berbahaya malah akibat terkena campuran kimia itu, kutu raksasa tersebut bersuara merdu dan berbakat bermain alat muzik. Kutu raksasa itu ditemui oleh seorang penyanyi kabaret bernama Lucille yang pada awalnya turut panik, namun kerana menyedari bahawa kutu raksasa tidak berbahaya dan berbakat, Lucille yang menamakan kutu raksasa tersebut sebagai Francoeur, bermaksud berhati jujur, menjadikan kutu raksasa tersebut sebagai ahli muziknya dan paduan mereka sangat diminati ramai.
Monster tersebut yang tidak lain tidak bukan hanyalah seekor kutu yang baik hati dan berbakat. Motif politik dan kebanggaan diri kini bertukar kepada korupsi dan gila kuasa, Datuk Bandar menyembunyikan hakikat Francoeur yang baik hati dan terus me’monster’kan kutu dan tetap mahukan ia dibunuh.
Sebenarnya bukan dalam filem ini sahaja, banyak filem lain, ada di antaranya kisah benar, turut memaparkan kisah sebegini, di mana selalunya yang baik dianggap jahat dan dijadikan musuh kerana kepentingan pihak tertentu dan orang ramai percaya kerana tidak mengetahui hakikatnya. Mari kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran daripada cerita begini.
Akhir-akhir ini syiah dijadikan “monster” di dalam negara kita oleh pihak tertentu yang mempunyai motif masing-masing. Sedihnya orang awam terutama orang muda yang bersemangat agama digunakan dan turut serta dalam menjaja kisah “monster” tadi tanpa mempunyai ilmu mengenainya atau mengkajinya terlebih dahulu. Marilah kita mengkaji kenapa cerita “monster” ini timbul hanya selepas Revolusi Islam Iran,1979, dan pihak mana yang sangat berkepentingan untuk memerangi syiah, mungkin kerana ketakutan untuk kehilangan kuasa kerana pengaruh syiah.
Kenapa Khomeini dan syiah menjadi “monster” sedangkan hubungan Malaysia dengan Iran sudah terjalin baik sejak lama, lebih-lebih lagi sejarah turut mencatatkan bahawa orang Melayu menerima Islam daripada pedagang Parsi. Banyak budaya dan bahasa yang dikongsi bersama oleh orang Melayu dan Parsi. Kenapa hanya akhir-akhir ini Syiah menjadi “monster” yang harus diperangi? Hairannya di sebalik cerita syiah sebagai “monster”, fakta menunjukkan bahawa monster inilah yang menjadi mangsa di sana-sini. Mungkinkah raja-raja Arab sangat takut dengan kebangkitan ulama khususnya ulama Syiah yang lebih kompeten berbanding ulama Sunni dan mempunyai pengikut yang ramai, lalu menjadikan Syiah sebagai “monster” bagi mengalih tumpuan rakyat dan bagi mewujudkan peluang mereka menjadi wira dalam memerangi monster berbahaya itu?
Nasihat saya kepada semua, jangan sampai kita digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dengan menjaja berita yang kita tidak ada ilmu mengenainya. Ambil masa untuk mengkajinya terlebih dahulu, khususnya ilmu Syiah, dapatkannya daripada sumber pertama supaya lebih sahih. Adalah dikesalkan kerana dengan kecanggihan teknologi maklumat hari ini, iaitu maklumat mengenai Syiah hanya di hujung jari, ramai yang gagal memanfaatkan sebaiknya.
Ramai hanya menjaja maklumat yang didapati daripada pihak kedua dan ketiga bersifat fitnah semata-mata. Sebagai contoh, mengenai isu Syiah bersolat, maklumat di hujung jari, saya melihat bagaimana mereka bersolat di dalam Youtube “Karbala TV”, dan saya membezakan dengan kecaman yang disebarkan. Tidak saya dapati banyak perbezaan dengan cara Sunni bersolat melainkannya hanya isu fekah yang furu’. Adalah tidak adil untuk kita memerangi Syiah, hanya kerana kita yang menjadikan mereka sebagai “monster”. Jika Monster di Paris terjadi akibat tindak balas kimia, pada saya Syiah menjadi “monster” kerana tindak balas sejarah dan politik orang Arab. - 13 Ogos, 2013.
0 comments:
Post a Comment