Thursday, 8 August 2013

Ketika awal konflik Syiria meletus, salah seorang pimpinan kanan gabungan pembangkang (FSA) yang merupakan anggota Ikhwan al-Muslimin datang ke Malaysia untuk mendapat sokongan. Dan alhamdulillah dia datang ke pejabat saya, dan saya mendengar makulmat first hand daripadanya. Kemudian saya mengatur pertemuannya dengan TGHA yang ketika itu telahpun terlibat langsung dalam menyelesaikan isu konflik ini.

Dia menyebut, ramai pihak yang tidak memahami isu Syiria, lalu kehadirannya adalah untuk memberi perjelasan sebenar kepada pimpinan-pimpinan di Malaysia terutama pimpinan PAS. Dia juga menyebut bahawa, beliau lari daripada Syiria kerana menjadi buruan tentera Basyar al-Asad dan duduk di Mesir beberapa ketika. Gabungan pembangkang yang dipeloporinya dianggotai oleh kumpulan Islam dari Ikhwan al-Muslimin Syiria bergabung dengan golongan-golongan lain termasuk sekular.

Saya memahami kedatangannya adalah untuk mendapat sokongan politik dan mungkin kewangan bagi melancarkan gerakan penentangan terhadap Basyar al-Asad dengan lebih agresif. Beliau secara jelas menyebut kepada saya bahawa Basyar al-Asad adalah kafir murtad, bukan seperti pegangan kumpulan Shi`ah lain. Kelibat mudanya jelas menunjukkan semangat kentalnya untuk menjadi Syiria seperti Mesir.

Kemudian saya menghubungi Dr Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS bagi mengatur pertemuan dengan TGHA. Saya mendapat tahu bahawa TGHA memang telah terlibat secara langsung melalui forum gerakan-gerakan Islam sedunia dan diamanahkan menjadi mediator sebagaimana isu di Yaman sebelum ini. Secara umumnya, gerakan Islam di Syiria sendiri terbahagi dua, pertama yang mengusahakan penyelesaian secara diplomatik politik dengan mengembalikan mandat memilih pemimpin kepada rakyat Syiria, dan kedua kumpulan yang membentuk gabungan dengan kumpulan-kumpulan yang lain menentang secara terbuka Basyar al-Asad,

Selepas satu persatu usaha diplomatik politik menemui kebuntuan, termasuk yang diusahakan oleh PBB melalui bekas Setiausaha Agungnya, Kofi Annan, maka saya berkeyakinan sememangnya ada usaha untuk menjadikan Syiria ini sebagai medan civil war yang tidak berkesudahan. Rakyat Syiria menjadi "pelanduk yang tersepit antara dua gajah yang berperang". Matlamatnya mahu menjadikan Syiria sebagai "padang jarak padang tekukur" dan "menang jadi abu, kalah jadi arang".

Usaha untuk menyelesaikan krisis di Syiria diburukkan lagi dengan provokasi mengaitkan isu Syiria ini dengan Sunni dan Shi`i. Tidak dapat dinafikan sentimen Sunni dan Shi`i adalah sentimen yang paling mudah dieksploitasi untuk menimbulkan konflik di Timur Tengah dan lebih khusus memanjang krisis di Syiria. Klip-klip kekejaman golongan Shi`ah terhadap Sunnah di Syiria dimuatnaik dalam youtube, kemudian tersebar luas di kalangan penggunanya.

Regim Hafiz al-Asad dan sekarang anaknya Basyar al-Asad sememangnya regim yang kejam dan zalim. Tetapi beliau bukanlah Shi`ah, beliau adalah golongan `Alawi yang diakui oleh golongan Shi`ah sendiri terkeluar dari pegangan mereka. Malah Basyar al-Asad adalah pendukung ideologi Sosialist Ba`ath, yang mempelopori pemerintahan despotism di Timur Tengah. Akan tetapi kekejaman regim ini dengan penuh licik dikaitkan dengan Shi`ah, dengan tujuan menimbulkan kemarahan terhadap Iran dan Hizbullah di Lubnan.

Disebabkan sentimen perbalahan Sunni-Shi`i sangat mudah dieksploitasikan, maka tidak ramai yang mempersoalkan kesahihan klip-klip yang dimuatnaik. Tidak lagi dipersoalkan daripada mana sumber klip-klip ini? Siapa perakamnya? Bagaimana perakam itu boleh berada ditempat kejadian kejam itu? Mengapa pula perakam itu bebas merakam, kemudian dimuatnaik pula untuk tatapan pengguna youtube? Serta lain-lain lagi persoalan yang sepatutnya berlegar dalam pemikiran seseorang yang tidak di bawah pengaruh sentimen.

Ramai kita telah lupa, bagaimana sentimen kepuakan inilah yang telah menghancurkan kejayaan Mujahidin menghalau Soviet Union di Afghanistan. Bermula dengan pembunuhan tokoh penyatu Mujahidin, al-Syahid Dr Abdullah Azzam, yang dibunuh bersama anak-anaknya ketika menaiki kereta untuk mendirikan solat Jumaat. Selepas itu, puak-puak Mujahidin mula bertelagah dan berperang bukan hanya antara golongan Sunni dan Shi`ah tetapi sesama Sunni. Kedua-dua kumpulan yang menyokong Presiden, Burhanuddin Rabbani (Sunni) dan Perdana Menteri Gulbuddin Hekmatayar (Sunni) berperang mengangkat senjata.

Bilamana tiada jalan penyelesaian, tiba-tiba muncul golongan Taliban yang dibekalkan persenjataan yang lengkap, malah ada yang menyebut dibantu dengan jet-jet pejuang menyerang kedudukan tentera Rabbani dan Hekmatayar. Dalam tempoh beberapa masa yang singkat, mereka berjaya mengalahkan tentera Rabbani di bawah panglimanya Ahmad Shah Mas`ud. Tentera Hekmatayar juga boleh kalah, sedangkan tentera Soviet Union sendiri menghadapi laluan yang sukar mengalahkan mereka sebelum ini. Akhirnya Afghanistan jatuh ke tangan Taliban untuk beberapa ketika.

Pada tahun 2001 berlaku peristiwa pengeboman WTC pada 11 September. Sehingga hari ini, tidak diketahui hakikat sebenar peristiwa 9/11. Terdapat dakwaan, bahawa Arab Saudi terlibat membiayai dua orang terrorist yang terlibat dalam pengeboman ini melalui Putera Bandar. Isu pembiayaan inipun seperti disenyapkan sekarang. Yang jelas peristiwa inilah yang menyebabkan Amerika campurtangan di Afghanistan dengan menghantar tentera bersekutu mengalahkan Taliban. Peristiwa ini jugalah yang menyebabkan Amerika menghantar tenteranya mengalahkan Saddam Hussin di Iraq.

Pemerintah yang naik di Afghanistan adalah Karzai (seorang sekular walaupun mendakwa Sunni) dan di Iraq Nuri al-Maliki (seorang sekular walaupun mendakwa Shi`i). Kedua-dua mereka disenangi oleh Amerika yang menjadi pelindung Israel di Timur Tengah. Lihatlah betapa mudahnya Amerika menggunakan sentimen kepuakan, menaja kumpulan yang diyakini ikhlas berjuang kemudian ditumbangkan, membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam yang dilihat tidak mudah terpedaya dan lain-lain. Akhir sekali, matlamat mereka mengekalkan kuasa imperalisme di dunia Islam tercapai dan negara haram Israel terus dilindungi.

0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~