Tuesday 13 August 2013

PETALING JAYA: Dr Chandra Muzaffar mahu media arus perdana Bahasa Melayu dan masyarakat Islam di negara ini mengkaji dan memahami mazhab Syiah secara mendalam.
“Jika mereka membuat keputusan ingin menolak mazhab tersebut lakukanlah dengan penuh bijaksana dan secara matang, kata Presiden International Movement for a Just World (JUST) itu.
Beliau berkata, proses penukaran mazhab perlu dilarang secara bijak dan matang. Cendekiawan bermazhab Sunni perlu berdialog dengan masyarakat Syiah dalam isu ini. Mereka perlu memahami kesan dan akibat dari penukaran mazhab.
“Pada masa sama, kita juga harus menghormati kepercayaaan mereka yang menjadi pengikut Syiah sejak beberapa generasi,” kata Chandra dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam laman web jurnal, Counter Currents.
Beliau berkata begitu sebagai reaksi kepada laporan media cetak Bahasa Melayu yang menggambarkan fahaman Syiah sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu dan Islam di negara ini selama hampir sebulan.
Laporan terbaru mengenai masyarakat Syiah menyatakan bahawa terdapat 250,000 pengikut Syiah di negara ini.
Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa larangan penyebaran fahaman Syiah pada 5 Mei 1996.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini sahaja beberapa kerajaan negeri mula mengambil langkah untuk mewartakan fatwa anti Syiah sebagai sebahagian daripada enakmen jenayah syariah. Setakat ini lebih 10 buah negeri telah mewartakan fatwa ini.
Perbezaan mazhab
Menurut Chandra, pihak berkuasa dan media perlu mengiktiraf perbezaan mazhab Syiah dan Sunni dan bukannya mewar-warkan fakta yang diputarbelitkan seperti mana yang dilakukan oleh media Bahasa Melayu hingga kini.
“Percanggahan Sunni dan Syiah ialah akibat daripada percaturan kuasa dan politik yang melibatkan Khalifah Ali Abi Talib.  Masyarakat Syiah mempunyai hadith dan amalan yang berbeza jika dibandingkan dengan Sunni.
“Sebahagian besar daripada mereka juga mengiktiraf amalan kahwin mut’ah,” jelas Chandra dan menambah, di sebalik perbezaan tersebut, pengikut Syiah beramal dengan lima rukun Islam dan enam rukun Iman.
Dari sudut perkembangan agama Islam, Chandra menyatakan bahawa pengasas mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Maliki di bawah ajaran Sunni ialah anak murid Imam Ja’far al-Sadiq.
Imam Ja’far ialah Imam Syiah keenam dan pengasas kumpulan ithna assyariyah iaitu kumpulan Syiah yang merujuk kepada 12 Imam Syiah.
Kata beliau, tindakan media cetak Bahasa Melayu yang mengecam pengikut Syiah dengan pelbagai tuduhan hanya akan melebarkan jurang perbezaan sesama masyarakat Islam, penularan rasa benci dan antagonisme yang akan melarat kepada ketegangan.
Beliau memberikan contoh dari perkembangan pergolakan di Iraq dan Syria yang berlaku kerana pihak luar mengapi-apikan perbezaan Sunni dan Syiah.

0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~