Ada satu fakta yang mesti kita terima bahawa Syiah sudah pun bertapak di Malaysia. Kenyataan ini menjadi bukti bahawa negara kita sedang menuju kepada masyarakat yang berkepelbagaian (multicultural society). Bukan saja berkepelbagaian dalam beragama, tapi juga berkepelbagaian dalam bermazhab.
Dengan menerima fakta bahawa memang sudah terdapat orang Syiah di Malaysia, maka kita juga mestilah menerima fakta bahawa dunia kemasyarakatan kita pada hari ini sudah semakin terbuka. Kerana itu, tindakan terbaru kerajaan untuk mengharamkan Syiah telah menimbulkan kontroversi yang hangat. Dalam dilema inilah, maka kita dituntut untuk memikirkan tindakan tersebut dalam-dalam dulu.
Pertamanya, adakah kita ingin menangkap semua orang Syiah tersebut kerana mereka berbeza mazhab dengan kita? Jika demikian, maka apakah penjara itu dapat menukar iman mereka dari bermazhab Jafari kepada bermazhab Shafie? Saya pasti, takkan semudah itu. Maka, apa lagi pilihan kita yang berikutnya? Di sini, saya hanya mampu berdoa agar minoriti Syiah ini tidak diancam pula secara fizikal akibat kelainan iman mereka.
Sehubungan dengan itu, dengan menyedari bahawa masyarakat sudah mengalami kepelbagaian yang pesat, maka untuk kita terus hidup aman-damai, kita mestilah mempunyai satu asas yang sepatutnya disepakati secara bersama. Pada saya, asas ini tidak lain tidak bukan ialah sebuah sistem nilai universal. Menerusi sistem nilai universal inilah, maka kita akan dapat mendamaikan segala perbezaan yang terdapat di dalam masyarakat.
Lebih jelas lagi, sistem nilai yang universal yang saya maksudkan ini ialah hak asasi manusia. Menurut saya, tanpa adanya hak asasi manusia ini, maka harga diri manusia (tanpa mengira agama dan mazhab apapun) itu akan sentiasa berada dalam keadaan terancam. Kerana itu, golongan Syiah di Malaysia sedang merasa diri mereka terancam kerana hak mereka sebagai seorang manusia telah dicabar dan dianggap tidak bernilai.
Lalu, apakah dosa orang Syiah ini sampai kita dengan semudahnya mencabut hak asasi manusia dari diri mereka ini?
Dosanya hanyalah kerana mereka tidak mempunyai mazhab yang serupa dengan kita. Berdasarkan keadaan ini, maka adalah amat malang jika masih ada lagi yang berfikiran barbar, yang enggan menerima fakta bahawa masyarakat kita adalah berkepelbagaian. Saya menggunakan perkataan barbar sebab istilah ini sangat sesuai untuk mengambarkan betapa gementarnya mereka dengan perbezaan yang wujud di dalam masyarakat yang berkepelbagaian ini.
Justeru itu, dalam menerima fakta hidup berkepelbagaian ini, maka saya fikir sudah tiba masanya untuk kita berfikir jauh ke hadapan. Untuk itu, adalah amat penting untuk kita kembali kepada semangat kemanusiaan sebagai sebuah landasan bersama yang mampu menyelesaikan konflik sosial di negara kita.
Dengan menghormati prinsip asas kemanusiaan ini juga, maka saya kira itu sekaligus bermakna kita menghormati prinsip asas agama kita sendiri. Sebab, sefaham saya, agama mana-mana pun sangat menekankan kepada martabat manusia (human dignity). Jadi, apabila kita menghormati orang Syiah sebagai manusia, maka kita dengan sendirinya turut menghormati ajaran agama kita sendiri.
Tapi sekiranya kita gagal memberi jaminan kemanusiaan ini, maka ini adalah satu berita buruk untuk semua golongan minoriti di Malaysia. Dalam keadaan ini, minoriti di Malaysia, termasuk golongan Syiah, merasa tidak lagi dilindungi oleh hak asasi manusia, yang mana ini merupakan sebuah prinsip yang sepatutnya jadi asas bersama buat semua manusia di dunia ini.
Sebagai tambahan, saya percaya bahawa tujuan utama dari adanya perlindungan hak asasi manusia itu bukan saja untuk melindungi kewujudan golongan minoriti, tapi juga untuk melindungi kenterteraman masyarakat secara keseluruhannya.
Sebagai contohnya, marilah kita lihat beberapa keganasan mazhab yang berlaku di Pakistan, Iraq dan sebagainya. Mengapa semua ini boleh berlaku? Kerana semua pihak tidak mahu tunduk kepada sebuah prinsip universal bersama: prinsip kemanusiaan tersebut. Namun, sekiranya semua pihak dapat menghormati martabat manusia adalah lebih tinggi dari kelainan iman, maka saya percaya jumlah keganasan mazhab dapat dikurangkan.
Berdasarkan kepada contoh ringkas ini, saya sangat mengharapkan agar masyarakat di Malaysia lebih tenang dan jernih dalam berdepan dengan gelombang kepelbagaian ini. Dalam dunia yang semakin moden, ditambah dengan muncul banyak media sosial, maka kita mestilah sedar bahawa kita tidak boleh lagi menentukan segalanya menurut selera kita semata.
Lantas, dengan menyedari hakikat ini, maka adalah penting untuk kita menjadikan hak asasi manusia sebagai asas untuk hidup bersama. Biarlah kita berbeza agama mahupun mazhab, tapi masing-masing tetap menghormati martabat manusia itu sendiri. Tanpa ada martabat manusia, saya yakin dan percaya, agama akan hilang serinya. Sebab, penganut agama yang baik adalah juga seorang penganut kemanusiaan yang baik.
Mudah kata, agama dan manusia, adalah saling tidak terpisah. Jika melawan salah satu darinya, bererti telah menghancurkan keduanya.
* Aina A Wahab ialah seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan juga pembaca The Malaysian Insider.
0 comments:
Post a Comment