Wednesday 31 July 2013

Gesaan pengharaman bahan penulisan Syiah bertentangan dengan ajaran Islam yang menerima kepelbagaian pandangan, kata pengarah IRF.



PETALING JAYA: Pengasas dan pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa hari ini membidas seruan Senator Datuk Noriah Mahat terhadap bahan penerbitan Syiah kerana Islam menerima kepelbagaian pendapat.
“Islam bukan bersifat monolistik. Agama ini menerima kepelbagaian pandangan. Tambahan pula taifah Syiah wujud bersama taifah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) sejak abad ketujuh lagi,” kata Dr Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas  gesaan Senator Datuk Noriah Mahat agar Kementerian Dalam Negeri mengharamkan semua bahan penulisan taifah Syiah sebagai langkah pencegahan agar ajaran Islam yang sebenar tidak terhakis.
“Jika ia tidak dikawal, ramai anak muda Islam akan terpengaruh dengan ajaran Syiah,” kata Noriah semasa sesi Dewan Negara semalam.
Mengulas lanjut perkara ini, beliau berkata masyarakat Syiah telah menyumbang kepada perkembangan semasa tamadun manusia.
Menurut beliau, ijtihad yang diamalkan oleh Syiah jauh lebih maju berbanding dengan Sunni. Contohnya, di Iran, pembedahan menukar jantina dibenarkan sekiranya seseorang individu tersebut mendapatkan pengesahan doktor dan ahli psikologi.
“Masyarakat hanya akan maju apabila terdapat perbezaan pandangan,” tambah Dr Farouk.
Beliau turut berpendapat bahawa isu Syiah ini dibangkitkan oleh pihak -pihak tertentu untuk memastikan kelangsungan Umno.
“Saya rasa PAS bertindak balas secara keterlaluan dalam isu ini.
“Ia menyebabkan kepimpinan dan ahli PAS bergaduh sesama sendiri sedangkan konsep kepimpinan ulama di dalam PAS dibentuk oleh bekas presiden PAS Yusof Rawa dalam tahun 1979 berdasarkan konsep Wilayat al Faqih dari Iran,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengkritik pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menidakkan mazhab lain dalam taifah Sunni.
Sepuluh hari lepas, Jamil dilaporkan berkata bahawa pengharaman ajaran Syiah bukan satu pencabulan hak asasi manusia kerana masyarakat Malaysia yang mengamalkan ajaran mazhab Shafie di bawah taifah Sunni.
“Mazhab Shafie hanya satu daripada empat mazhab dalam Sunni. Di Pulau Pinang umpamanya terdapat lebih ramai pengikut mazhab Hanafi berbanding Shafie,” kata beliau.
Dua mazhab lain dalam taifah Sunni ialah Hambali dan Maliki.


0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~