Wednesday, 31 July 2013

Isu Syiah: Sandiwara politik Umno

Posted by Unknown On 23:38 No comments
Syiah atau ajaran Ahlul Bait merupakan satu mazhab dalam Islam, seperti mana mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni), yang kini sedang berkembang bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh pelusuk dunia.
Ini adalah hakikat yang harus diterima, sama ada kita suka atau tidak. Sama ada kita mahu atau tidak. Sebab itu dalam perpektif dan pandangan Barat, dunia Islam hanya terbahagi kepada dua mazhab yang besar, Sunni dan Syiah.
Ini bermakna umat Islam hari ini, terbahagi kepada dua kelompok yang besar sama ada mereka berada dalam kelompok Sunni atau berada dalam kelompok Syiah. Namun begitu pengikut Syiah merupakan kelompok minoriti dalam Islam; kecuali di Republik Islam Iran, Iraq dan Bahrain, di mana mereka merupakan golongan majoriti.
Namun begitu, tindak tanduk para pemimpin Umno dan tokoh agama Sunni yang menyerang Syiah dengan begitu dahsyat sejak akhir-akhir ini dipercayai akan memberi kesan yang positif kerana ini menimbulkan perasaan ingin tahu terutama di kalangan anak muda.
Oleh yang demikian, tindakan mereka memberi publisiti kepada Syiah dalam media milik mereka, dilihat secara tidak langsung membantu penyebaran fahaman mazhab Syiah, walaupun niat mereka ialah untuk menyekat fahaman itu.
Dalam satu sidang media kelmarin, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu ini secara tidak langsung memberi publisiti murah terhadap ajaran Syiah itu sendiri sehingga mampu menarik lebih ramai orang mendekati dan mempelajarinya terutamanya golongan muda.
PAS jadi sasaran
Selepas menyerang NGO dan komuniti Syiah, para pemimpin Umno beralih arah pula dengan menyerang pemimpin-pemimpin kanan PAS yang didakwa terlibat dengan fahaman Syiah. Ini merupakan satu taktik kotor Umno untuk memecah-belah perpaduan dalam PAS dan bertujuan untuk melemahkan parti itu.
Mahfuz menasihati pihak berkuasa agama negeri-negeri dan media supaya segera menghentikan polemik isu Syiah kerana bimbang ia hanya akan menyebabkan pengaruh fahaman itu berkembang luas.
Menurut sumber, isu Syiah seperti biasa akan timbul setiap tahun apabila menjelang musim haji. Malaysia seperti biasa membuat permohonan untuk mendapatkan kuota haji yang lebih maka sebab itu mereka menyerang Syiah.
“Biasalah tu! Serang Syiah sebab kita mahu kerajaan Arab Saudi memberi tambahan kuota haji.  Kalau tidak tak dapatlah. Inilah dia sandiwara politik Umno.  Bukannya mereka faham sangat apa itu Syiah,” kata sumber itu.
Di Dewan Negara semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penyebaran fahaman Syiah di negara ini kuat dipengaruhi oleh kebangkitan Syiah di peringkat global dan kesan dari kemajuan teknologi maklumat.
Namun beliau menafikan bahawa pengaruh Syiah semakin kuat hari ini ekoran dari keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) pada tahun 1984 yang mewartakan bahawa dua madrasah Ahlul Bait, Zaidiyyah dan Ja’fari boleh diamalkan.
Bagaimanapun enakmen yang membenarkan dua madrasah Ahlul Bait itu untuk diamalkan di negara ini telah dimansuhkan melalui kenyataan MFK bertarikh 5 Mei 1996.
Bersekongkol dengan Barat
Kerajaan Arab Saudi yang berpegang teguh kepada fahaman Wahbi menjadi musuh ketat Iran sejak kerajaan monarki itu memilih untuk bersekongkol dengan Barat terutama Amerika Syarikat bagi memerangi para pengikut Syiah.
Peranan Arab Saudi dalam perang saudara di Syria adalah jelas di mana mereka menyokong dan membiayai para pemberontak yang terdiri daripada puak Wahbi, Salafi, Al Qaeda dan Takfiri bagi memenuhi nafsu serakah tuan-tuan politik mereka, Amerika dan Israel.
Ada media Barat yang menggembar-gemburkan perang saudara di Syria adalah merupakan peperangan di antara puak Syiah dan Sunni. Ada di kalangan pemimpin, ustaz dan tokoh agama kita, terutama yang condong kepada fahaman Wahbi, terpengaruh dengan dakyah ini dengan mengutuk Syiah di masjid dan surau di seluruh negara.
Perkembangan mazhab Sunni dan Syiah adalah lumrah alam. Sama ada kedua-dua mazhab ini berkembang menerusi dakwah maupun berpunca dari zuriat dan keturunan adalah fitrah, di mana tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya.
Semuanya ini berada dalam perancangan Allah. Jika Allah berkehendaki nescaya Allah akan menjadi semua manusia ini umat yang satu. Tetapi kenyataannya tidak sedemikian dan kita harus belajar untuk menerima perbezaan pendapat dan perbezaan mazhab ini.
Dalam Surah Al Maaidah ayat 48, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kalau Allah mengkehendai nescaya Dia menjadikan kamu umat yang satu tetapi Dia hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepada kamu.”
Allah juga melarang kita memperlekeh, menghina, mencaci maki manusia lain dan mengishtiyar serta menghukum mereka yang bukan dari kalangan kita sebagai sesat dan kafir, seperti mana firman Allah dalam Surah Hujuraat ayat 11 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”
Penguatkuasaan undang-undang
Walaupun kebanyakan negeri mahu mewartakan enakmen anti-Syiah dan bercadang untuk mengharamkan terus ajaran Syiah dari berkembang di negara ini, tetapi dari segi penguatkuasaan undang-undang ianya bukan mudah untuk dilaksanakan.
Satu kes yang menjadi ‘landmark’ di negara ini apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuang, dekat Kuala Lumpur baru-baru ini membebaskan dua penganut mazhab Syiah atau Ahlul Bait, seorang pemimpin Syiah tempatan dan seorang lagi ulama dari Iran.
Pihak pendakwa yang mewakili kerajaan Malaysia gagal menjawab dan menangkis hujah-hujah yang dikemukakan oleh penguambela kedua-dua tokoh ini sehingga menyebabkan mahkamah terpaksa menolak kes ini.
Barangkali kes ini menjadi rujukan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria apabila diwawancara Mingguan Malaysia Ahad lalu, di bawah tajuk “Syiah ancaman kepada Islam” mengakui bahawa amat sukar untuk mendakwa para pengikut Syiah ini.
“Mereka pandai taqiyyah (berpura-pura?) dan menyembunyikan identiti mereka dan apabila di bawa ke mahkamah pun kita kalah kerana penguatkuasaan undang-undang tidak kuat.
“Memang susah hendak membanteras Syiah sebab pengaruhnya sudah merebak tetapi tindakan tegas mesti dibuat. Selagi kita lemah kita tidak boleh membanterasnya,” kata beliau dalam wawancara tersebut.
(Taqiyyah di sini sebenarnya bermaksud menyembunyikan keimanan mereka kerana mudarat atau bahaya yang boleh menimpa ke atas mereka seperti kes Ammar bin Yasir yang dipaksa mengisytiharkan meninggalkan keimanannya semasa menderita diseksa).
(Firman Allah SWT dalam ayat 106 Surah An-Nahli bermaksud: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman, kecuali orang yang dipaksa kufur sedang hatinya tenang dengan iman, akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar).
Makanya, segala tohmahan dan fitnah yang dihambur oleh para pemimpin Umno selama ini tentang betapa buruknya ajaran Syiah boleh dianggap sebagai satu sandiwara politik sahaja di mana agama Islam dijadikan modal politik untuk memulihkan kembali keyakinan orang Melayu terhadap parti perkauman itu.
Ia juga ibarat satu lakonan atau satu babak dalam filem yang sedang direkacipta oleh Umno tetapi kali dengan plot dan jalan cerita yang lebih menarik dan hebat.



0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~