Tuesday, 10 September 2013

Kami di AsSajjad Movement ingin merujuk saranan Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Dr Zamihan Md Zain bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri pada era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar digunakan kembali untuk menahan pendokong Syiah tegar memandangkan tindakan itu berjaya menyekat ajaran Syiah daripada terus berkembang di negara ini.
Beliau dinyatakan membentang satu kertas kerja bertajuk "Modus Operandi Gerakan Syiah dan Ancamannya Kepada Kestabilan Negara dalam Seminar Mendepani Virus Syiah" di Dewan Muktamar, Pusat Islam pada 8 September 2013.
Kami berpendapat "pusingan kedua serangan media dan ulama Salafi ke atas penganut Syiah" di negara ini adalah semata-mata untuk menutup krisis kenaikan harga barang yang menjadi bual bicara masyarakat sejak minggu lalu.
Selain itu, "laporan ancaman dan bahaya Syiah" akan dapat mengkaburi keresahan masyarakat ekoran krisis keyakinan terhadap kepimpinan politik di negara ini. Sehubungan itu, sekali lagi, pengamal mazhab Syiah dikambinghitamkan. 
Meminjam pandangan Fathul Bari Mat Jahya mengenai krisis kenaikan harga barang yang menjadi ketetapan Allah sejak pada zaman Rasulullah, kami juga berpendapat kewujudan komuniti Syiah di Malaysia adalah satu ketetapan Allah. 
Nampaknya adalah sudah menjadi "satu takdir" bahawa Malaysia menandatangani Islamabad Declaration 2007 (oleh OIC) yang mengiktiraf fahaman Syiah. Demikian juga, adalah sudah menjadi satu takdir bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menjuarai gagasan Islam Washatiyyah (Islam Sederhana)  dan menandatangani ASEAN Human Rights Declaration 2012 di Kemboja tahun lalu.
Sebarang penindasan terhadap komuniti Syiah adalah melawan takdir ini. Kami di AsSajjad Movement, ingin sekali lagi meminjam poin yang dikemukakan oleh Fathul Bari Mat Jahya bahawa kehadiran masyarakat Syiah di Malaysia sudah pun ditetapkan oleh Allah, dan ia adalah satu ujian atau dugaan yang kecil untuk kita memperlihatkan kematangan, kesabaran dan keadilan dalam menangani kaum minoriti; sebagaimana firman Allah SWT, "Dan pasti Kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah: 155).
Kami di AsSajjad Movement mengimani ketetapan Allah ini dan menyeru supaya umat Islam di Malaysia melakukan hal yang sama iaitu menghormati hak asasi manusia kaum minoriti. Dalam pada itu kami di asSajjad Movement turut bersetuju dengan 'fatwa' Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa ajaran Syiah lebih berbahaya berbanding fahaman Komunis.
Beliau dilaporkan menggesa supaya kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang mempunyai majoriti penganut mazhab itu yang kami percayai dimaksudkan dengan Iran.
Kami ingin menyarankan supaya 'fatwa' beliau ini segera dilaksanakan. Malahan Malaysia sepatutnya mendahului negara dan komuniti Islam lain di dunia ini untuk mengisytiharkan Syiah sebagai kafir, dan keluar dari Islam. Pengisytiharan tersebut akan menjadi deklarasi takfiri paling bersejarah dan bergaya dalam dunia moden dan sejarah umat Islam kontemporari.  – 10 September, 2013.
*M S Hussain ialah Presiden AsSajjad Movement.

0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~