Mantan Menteri Besar Kedah;
Konflik Sunni dan Syiah disuburkan oleh musuh-musuh Islam
Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid menjelaskan bahawa, "Rata-rata negara Islam bergolak kerana konflik antara Sunni dan Syiah yang dibesar-besarkan dan disuburkan oleh musuh-musuh Islam." Berikut adalah hasil tulisan tangan beliau berjudul ANTARA SUNNI & SYI'AH dalam menjawab tulisan " Syi’ah Berkembang NKRI Terancam" yang disiarkan dalam majalah Suara Hidayatullah.
***
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Tajuk penulisan saya pada kali ini ialah 'Antara Sunni & Syiah'.
Tajuk ini saya gunakan kerana saya tertarik kepada satu karangan mengenai tajuk ini dalam Majalah SUARA HIDAYATULLAH dalam perjalanan dari Jakarta ke Kuala Lumpur beberapa waktu yang lalu.
Saya telah menulis 9 masukan dalam blog ini yang berkaitan dengan peperangan. Lihatlah di bawah tajuk
1. 'War Criminal Conference' pada 26 Oktober, 2009
2. 'Yahudi Kuasai Dunia Melalui NGO' pada 25 Disember, 2009
3. 'Dari Buku - Jewish Manchester' oleh Bill Williams pada 7 April, 2010
4. 'Yahudi Zionis Dayus' pada 2 Jun, 2010
5. 'Menuju Pembebasan Palestin' pada 16 Jun, 2010
6. 'Islam - Sikap Ummatnya' pada 2 Jun, 2011
7. 'Palestin - Tindakan Yang Diiringi Do'a' pada 21 September, 2011
8. 'Thou Shall Not Kill' pada 3 Mei, 2012
9. Extracts of Writings and Speeches on War and Propaganda pada 9 Oktober, 2012
Semua penulisan ini sedikit sebanyak menceritakan mengenai pergaduhan dan peperangan yang berterusan di dunia khususnya di bumi Islam.
Di dalam karangan ke 8 saya telah turunkan kandungan buku yang saya baca bertajuk 'Where to Invade Next'. Sebuah senarai telah saya ketengahkan bahawa negara-negara berikut menjadi sasaran Amerika Syarikat setelah Afghanistan dan Iraq diserang. Iaitu:
1. Iran
2. Pakistan
3. Uzbekistan
4. Venezuela
5. Syria
6. Sudah, dan
7. Korea Utara
Melihat kepada senarai ini kita akan lebih memahami melihat keadaan pergolakan yang berlaku di Syria pada masa ini. Di Pakistan ke adaannya purak pusanda. Iran dikecam terus. Sudan sudah pecah dua dan terus bergolak. Korea Utara baru melancar roketnya dan terus dikecam. Chavez sedang sakit barah di Cuba. Keadaan juga sudah mula berdengung di Uzbekistan.
Dari senarai ini jelaslah bahawa negara-negara berikut tidak menjadi sasaran Amerika Syarikat di waktu buku itu ditulis, iaitu:
1. Tunisia
2. Libya, dan
3. Mesir
Jelaslah 'The Arab Spring' atau kebangkitan rakyat di Tunisia, Libya dan Mesir tidaklah merupakan satu rancangan pihak yang dikuasai Yahudi kerana Tunisia mempunyai sebuah kerajaan yang menentang Al Qaedah, Libya mempunyai hubungan yang baik dengan Britain sejak Tony Blair menjadi Perdana Menteri dan Hosni Mubarak adalah Presiden Mesir yang telah berjanji tidak mengusik Israel dengan habuan berbilion dollar Amerika bantuan untuk Mesir.
Kehendak rakyatlah yang telah menjatuhkan rejim-rejim di atas.
Dalam karangan bertajuk 'Writings and Speeches on War and Propaganda' saya telah mengenengahkan pendapat Rabbi Yahudi yang dengan jelas dan tegas mengatakan ke amanan dunia hanya akan tercapai jika Israel dibubarkan.
Cengkaman Yahudi ke atas Britain dan Amerika Syarikat jelas dalam karangan 'Dari Buku - Jewish Manchester oleh Bill Williams'. Dalam karangan ini jelaslah bahawa pembinaan NGO-NGO oleh Yahudi di Britain dan Amerika Syarikatlah yang memperkukuhkan dukungan Amerika dan Britain ke atas Israel.
Sementara perpaduan Yahudi Zionis semakin kuat umat Islam pula berkucar-kacir dengan perbalahan sehingga permusuhan sesama sendiri mengatasi kemampuan untuk berdepan dengan musuh yang jelas dalam Al Quran.
Kerana perpecahan antara umat Islam inilah maka dalam karangan 'Yahudi Zionis Dayus' saya telah mengesahkan betapa pemimpin Israel Ehud Barack membuat kenyataan bahawa beliau tidak kisah dengan kutukan yang akan dibuat dalam Persidangan OIC di Putrajaya yang akan diadakan dari 11 hingga 18 Oktober, 2003. Mengikut Ehud Barack Persidangan itu akan hanya mengutuk Israel sebagaimana yang telah dibuat bertahun-tahun tanpa kesan kerana umat Islam tidak akan bersatu menyokong Palestin dengan wang, benda, tenaga atau senjata.
Malahan tentangan umat terhadap Yahudi Zionis hanya dengan do'a dan kemarahan tanpa didampingi dengan usaha yang bermakna.. Saya kisahkan perkara ini di bawah tajuk 'Islam - Sikap Ummatnya' mengenai dialog antara bekas graduan UIA yang menjadi Mufti Bosnia dengan pemandu taksi yang dinaikinya.
Dalam karangan bertajuk 'War Criminal Conference' dengan jelas saya nyatakan keengganan pihak Amerika Syarikat untuk membantu satu-satu perjuangan yang akan memperkukuhkan kedudukan ummat Islam.
Dalam karangan bertajuk 'Menuju Pembebasan Palestin' saya telah menurunkan pendapat professor Karl Schiller di Jerman bahawa yang dapat menghancurkan Israel ialah perpaduan antara Turkey, Iran dan Mesir kerana tiga negara ini mempunyai rakyat yang cukup ramai, angkatan tentera yang melebihi Eropah dan keberanian pejuang yang luar biasa. Dalam konteks ini negara-negara Islam yang kaya tidak mempunyai apa-apa peranan kerana wang mereka yang banyak itu semuanya disimpan dalam bank-bank Yahudi.
Karl Schiller telah membuat kenyataan ini pada tahun 1969 sebelum beliau diangkat oleh Chancellor Helmut Schmidt dari menjadi professor ekonomi dan kewangan kepada Menteri Kewangan dan Ekonomi Jerman Barat.
Pada waktu itu Iran di bawah Shah Reza Pahlavi dianggap kawan kepada Israel, Mesir di bawah Gamel Abdul Nasser dianggap musuh Israel tetapi Turki tidak mempunyai pendirian yang khusus. Itulah sebabnya Jerman Barat telah membenarkan orang Turki memasuki Jerman untuk bekerja.
Dengan itu Karl Schiller dapat menyelesaikan masalah politik, kerana takut Israel hancur, dengan memisahkan Turki dengan Iran dan Mesir; dan menyelesai masalah ekonomi Jerman Barat dengan mendapat bekalan tenaga kerja yang tidak mencukupi untuk pembangunan Jerman Barat yang sangat pesat.
Sekaligus orang Turki juga beruntung dari segi ekonomi kerana mendapat pekerjaan di Turki. Dengan itu, Kerajaan Turki tidak mungkin membuat sesuatu yang boleh meretakkan hubungan antara Turki dan Eropah Barat, sebagai pembela Israel, lebih-lebih lagi kerana Turki juga ingin menjadi anggota Union Eropah dalamana Jerman Barat (nama di waktu itu - kini Jerman) memainkan peranan yang besar.
Kini tempat Shah sudah diduduki oleh Mahmoud Ahmadinejad yang anti Israel, Turki di bawah pemimpin Erdogan juga lebih mendekati negara-negara Islam serantau, dan menganggap mereka penting, daripada berkawan dengan Israel. Sementara rakan Israel Presiden Mesir Hosni Mubarak sudah diganti dengan tokoh Ikhwanul Muslimin yang anti Israel.
Kesannya jelas sekali.
Dalam masa yang singkat Palestin mendapat tempat sebagai pemerhati, pada permulaannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Israel telah meletak jawatan, mungkin diikuti dengan perubahan besar di dalam pilihanraya Israel yang akan datang.
Tidak hairanlah jika ada pihak yang mendalangi demonstrasi di Mesir masakini untuk menjatuhkan Presiden Mesir sekarang walau pun demonstrasi awal tidak berdalang..
Sementara perjuangan dan urusan penyelesaian kepada masalah Palestin kelihatan ada cahaya di hujung terowong, kita juga tidak boleh melepaskan diri dari masalah perselisihan baru di kalangan ummat Islam yang sedang berleluasa sekarang ini.
Rata-rata negara Islam bergolak kerana konflik antara Sunni dan Syiah yang dibesar-besaarkan dan disuburkan oleh musuh-musuh Islam. Malahan masalah pendudukan Palestin juga susah seselai dengan faktor Sunni dan Syiah ini. Masalah di Iraq juga begitu.
Melagalagakan hubungan persaudaraan antara sesama Muslim Malaysia dan Indonesia juga nanti akan, kalau belum, berpunca dari perbezaan faktor Sunni dan Syiah ini. Segala persoalan antara dua bangsa serumpun baik yang kecil atau yang besar pasti akan dijadikan modal oleh pihak yang memusuhi Sunni supaya ianya berterusan dan berlarutan.
Negara Islam yang terbesar di dunia ialah Indonesia. Jika Indonesia bergolak dalam satu peperangan bersaudara ianya pasti bukan kerana konflik antara Islam dan Kristian tetapi antara Sunni dan Syiah. Kecualilah kita memberi perhatian sebelum terlambat.
Dalam semangat inilah maka wawancara SUARA HIDAYATULLAH dengan Kiai Abdusshomad Buchori menjadi tersangat relevan. Selamat membaca.
0 comments:
Post a Comment