Wednesday 11 September 2013



Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Islam Iran yang sudah terjalin sekian lama meskipun digesa berbuat demikian oleh beberapa pihak untuk menyekat penyebaran mazhab Syiah di negara ini, kata Datuk Seri Anifah Aman (gambar).
Menurut Menteri Luar itu, kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dalam satu seminar di ibu negara baru-baru ini tidak mencerminkan pandangan Malaysia dalam isu tersebut.
“Gesaan supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran yang merupakan rakan penting bagi Malaysia adalah tidak wajar serta tidak berasas kerana perkara dibincangkan merupakan isu domestik yang perlu ditangani pihak berkuasa di negara ini," katanya dipetik dari Utusan Malaysia.
Dalam satu forum bertajuk Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam hujung minggu lalu, Wan Zahidi berkata ajaran Syiah lebih berbahaya berbanding fahaman Komunis serta menggesa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang mempunyai majoriti penganut mazhab itu.
Wan Zahidi berkata, meskipun Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan China sejak sekian lama, negara berkenaan tidak pernah menyebarkan fahaman komunis melalui hubungan diplomatik, dan perkara itu jelasnya berbeza dengan pegangan penganut Syiah.
Malah, katanya, kajian beliau sejak 1980-an mendapati, ajaran Syiah juga lebih berbahaya berbanding Yahudi dan Nasrani.
Wan Zahidi berkata, tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran akan dapat mengekang penularan fahaman berkenaan daripada tersebar secara meluas.
Kenyataan mufti itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata, penganut ajaran Syiah di negara ini tidak mempunyai halangan mengamalkan mazhab itu cuma dihalang untuk menyebarkannya kepada orang ramai.
Awal bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Malaysia pada majlis pelantikan presiden baharu Iran, Hassan Rouhani sebagai Presiden Iran yang ketujuh di Bangunan Parlimen di Tehran. – 12 September, 2013.

0 comments:

Post a Comment

Site search

    Quotes

    'Do the best bcoz u are the best from the best' ~Hana Zaka~